Cerita Ride ke Surat Thani Thailand bersama Ratpack (Triumph Malaysia)

DSC01920

Inilah wajah-wajah bikers dan pilion seramai 14 orang yang menganggotai kembara MyRatpack Khao Sok Ride ini dari kiri anda Haji Jabar, Hj Lokman, Arie, Zakiah, Uncle Raj, Wan, Oteh, Glen, Din, Melvin, Neil, Abby, Daouih (Firdaus) & Haji Rashid

Saya memang sengaja tak mewar-warkan cerita kembara bersama Ratpack ni…tak masuk FB, ada cerita sedikit dalam Insta tu je.
Tujuan utama saya join Ride ni, nak luaskan pengalaman ride dan mengenali Ratpack ni lebih dekat. Buat sesapa yang tak tau apa itu Ratpack – Riders Association of Triumph camtu lah, di Malaysia ni di bawah FB, bukan Facebook, tapi Fastbike Malaysia, owner Dato Razak Malique.
Dalam group ni ada 12 riders dan 2 pillion. Semua memang ride Triumph bikes, sebab itulah syaratnya. Kebanyakannya Triumph Tiger XC atau XR, ada 3 XR, 6 XC, 1 Explorer, 1 Bonneville T120 dan 1 Street Triple R pun ada. Tetapi, jadi lumrah Triumph riders ni memiliki lebih dari satu Triumph bike, contoh seorang tu ada satu Tiger XCX, dan sebiji Explorer (keduanya adventure bike), seorang lagi ada Triumph Tiger, juga Triumph Trophy (Sport Tourer). Sementara seorang biker lagi, ada sebiji Triumph Tiger XRX, dan Street Triple – saya lah tu!
Rata-rata bikers ni menyatakan rasa puas hati dengan Triumph bikes, dari segi kualiti dan prestasi boleh tahan. Dia orang juga suka dengan komuniti Ratpack ni, di bawah Fastbike Malaysia, yang memang aktif dan banyak invest untuk ahli-ahli, contoh event yang dianjurkan seperti di Pulau Pinang, malah di HQ Fastbike sendiri di PJ, memang kerap, jamu kambing, durian macam-macam lagi. Program ride memang banyak, dan banyak yang dapat sponsor dari Dato Malique, itu yang bikers rasa teruja.
Macam ride ke Khao Sok ni, seperti yang disebut oleh Marshal, Arie, boleh dikatakan ride VIP, tinggal pun di resort yang cantik, ada agent yang handle booking hotel, makanan semua setel, ada backup 4WD lagi (biasanya sampai sebelum kami) untuk bantu semua urusan menginap dan makan serta tempat-tempat menarik. Kebetulan ada seorang biker ni tiada topbox pannier pun tak, jadi takat bawa backpack sambil ride, dengan adanya backup 4WD ni mudah saja dia tumpang beg dalam kereta sampai lah ke border Sadao.
Antara Tempat di lawati ialah Pattalung, Khao Sok National Park, Chieo Lan Lake (termasuk boat tour), Tale Noi, Songkhla Lake, Hatyaii. Dua resort tempat kami bermalam, mempunyai tarikan sendiri – Pakpra Resort (Pattalung) dan Cliff & Jungle Resort (Khao Sok) dengan pemandangan dan sekitar yang unggul.
Jarak ride sebenarnya tidaklah terlalu jauh, kira-kira 2200km roundtrip – dalamasa 5 hari! Malahan ada salah satu hari ride dalam 100km sahaja…itu agaknya apa yang disebut oleh Arie VIP ride…memang relaks kalau nak dikira dari segi jarak. Biarpun begitu ia cukup padat dan bermakna, lebih penting kerana majoriti jentera yang join ialah Triumph Tiger, saya anggap ride ni satu ‘real life test’ untuk Triumph Tiger yang mana saya salah seorang pemiliknya. Terbukti jentera ini memang osem, tiada apa masalah sepanjang perjalanan dan semua bikers berpuas hati dengan jentera masing-masing. Oleh kerana ini kali kedua saya merentas sempadan dengan Tiger XRX milik saya ini secara langsung memberikan keyakinan jentera ini cukup mampu untuk perjalanan jarak jauh seperti ini. Ada cerita lebih lanjut kemudian nanti.
Tetapi bukan itu saja, banyak yang saya dapat pelajari di samping mengenali rakan-rakan baru dari berbagai latarbelakang. Seorang adalah multimillionaire, bekas GM Petronas, Eksekutif Bank, bekas racer, macam-macam lagi. Ada 2 orang British, seorang Chinese (Cement industry), seorang Indian, seorang keturunan Siam dan yang lain Melayu.
Apa yang saya dapat pelajari, dari segi masa. Mereka memang mementingkan ketepatan masa, semuanya sharp, on time. Nak ride, tayar golek, memang kena on time, kalau berhenti makan, minum, refuel, semua ikut plan. Nak makan malam, breakfast pun kena on time, buat ramai-ramai satu group. Sebab itu apa yang dirancang berjalan baik, dan selalunya memang sampai ke tempat dituju lebih awal dari yang dijadualkan. Marshal sentiasa pastikan semua riders bersedia dan tahu tempat nak dituju. Sebelum pergi lagi semua ahli dah dapat makluman terperinci setiap destinasi, dengan drop pin lagi.
Organisasi ride pun bagus. Marshall yang didepan menentukan tempo ride, walaupun ada ‘middle man’ yang backup riders yang berada di tengah-tengah kumpulan, dan juga ‘sweeper’ yang selalu duduk paling belakang, pastikan semua rider ikut route yang dirancang dan takkan sesat. Memang betul, sepanjang ride tak pernah ada yang tersesat. Cuma ada sekali, dua riders lewat, rupanya sweeper sendiri mengalami masalah puncture, kena repair, dibantu oleh seorang rider lagi, itu saja punca lewat, tapi tidak pernah ada yang sesat atau sangkut di mana-mana.

20170806_102758
Dari aspek ride sendiri, saya banyak juga belajar…maklumlah selama ni memang redah saja, biasalah bila ride dengan MIB memang saya suka sebab dapat belajar dari otai-otai semua. Untuk ride Ratpack ni, sebab waktu yang lama, destinasi yang baru dan kumpulan baru jadi medan untuk menambah pengalaman dan skil. Riders Triumph ni kebanyakannya memang berpengalaman luas, dah sampai banyak destinasi di Thai, ada yang dah sampai ke Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam jadi dari berinteraksi dengan mereka pun banyak ilmu ditimba.
Saya amati bikers Ratpack ni memang tinggi standard, boleh dikatakan semuanya pecut dan cekap mengendali jentera masing-masing. Malahan di jalan Thai pun kelajuan purata 130-140km/j tu sangat biasa, bila saya berada di belakang Marshal Arie, kekadang boleh melebihi 150km/j, ini di jalan Thai (Trunk road) bukan highway. Malah sepanjang jalan ke Hatyai yang melalui banyak pekan kecil pun tetap pecut, mulanya saya teragak-agak, lama kelamaan jadi biasa pula…itulah ceritanya bila dah masuk highway, nak maintain kelajuan atas dari 160km/j macam dah biasa sahaja….cuma pada saya lebih selesa memandu pada kelajuan jauh lebih rendah, terutama bila berseorangan, insyallah lebih konfiden dan selamat begitu.

20170809_075025

Arie Ketua Rombongan ‘Marshall’ & Mizi tour guide Thai

Walau dah agak jauh berjalan, bermacam destinasi dan laluan dilalui, melayan koner tetap satu kelemahan saya. Walaupun dalam ride ini tidak banyak koner yang dilayan, jauh sekali 1000 corners tu, saya dapat belajar secara praktikal, terutama bila otai macam Neil dan Melvin memotong dari belakang, atau Melvin menegur cara saya mendekati koner. Bagus juga, walaupun dah berusia lanjut kena tegur dengan anak-anak muda haha, sebab saya melihat kesebelasan bikers ini masing-masing mempunyai keistimewaan, dan pastinya setiap satu ada kelebihan dan ilmu yang dapat ditimba. Memang kesemuanya bikers kental tanpa ragu, termasuklah Uncle Raj (itu gelaran beliau, walaupun umur taklah lanjut sangat) – dan beliau baru sahaja memiliki Triumph Tiger XCX kira-kira tiga bulan! Tetapi di sebalik itu, beliau sebenarnya adalah penunggang tegar, sejarah ride bermula dari usia 18 tahun lagi, berulang alik KL-JB dengan 125cc bike. Kegemaran beliau ialah memulas throttle penuh dan pandu pada kelajuan maksima setiap jentera miliknya, untuk mendapat kepuasan. Saya tak pasti lah, menurut beliau antara motor terakhir miliknya sebelum Tiger ialah Yamaha Virago, berapa kelajuan maksima beliau dapat hampiri!
Tour guide dan makanan halal
Mulanya saya agak ragu-ragu juga bila ditempatkan di resort dan tak pasti dengan makanan yang dihidangkan, sehinggalah mengenali ketiga-tiga tour guide kami. Mereka bertiga Muslim dari Yala, dan memang telah membuat perancangan dengan setiap resort supaya hanya makanan halal sahaja akan disajikan untuk kami. Begitu juga restoran yang disinggahi memang semuanya milik orang Islam. Bersyukur, dan di sini tabik pada Fastbike yang memastikan keselesaan semua bikers. Termasuk Uncle Raj, seorang ‘vegetarian’ dan beliau berpuas hati sebab dapat menu yang beliau sukai.

 

Tak Kenal Lelah, sentiasa prihatin
Nampaknya semua bikers Ratpack ni cukup bertenaga, walau selepas ride beratus km, tak nampak kesan letih, tak komplen, dan tiada yang bagi excuse nak rehat lebih lah, nak start lewat dsb, semuanya sentiasa on bersedia. Ini saya tabik, sebab yang join ride ni tak semuanya muda belia, malah 5 dari mereka berusia 50 ke atas, dan Jabar yang usia 60an, tapi tetap gagah. Apa rahsia mereka, tak lain mereka ini adalah orang-orang yang dah melalui ‘test of time’ dengan pengalaman ride yang berpuluh atau ratus ribuan km, tak hairan lah. Walaupun, sebelum join ride ni penganjur tak pernah tanya ahli yang nak join dah pernah ke Thai ke, apa pengalaman ride sebelumnya, tapi nampak macam mereka dah kenal semua orang, malah semasa saya berborak dengan Arie beberapa hari sebelum berlepas, beliau sudah kenal profail setiap bikers, dah pernah sampai ke mana, berapa kelajuan pemanduan…hebat. Mungkin ada proses penapisan secara tak langsung kut….macam saya yang paling daif nih…adalah sekali pernah merentas sempadan, setakat itulah pengalaman. Walaupun, buat saya, untuk seseorang itu mampu sampai ke Sempadan atau ke mana saja, jarak melebihi 2000km, memang perlu dah ada pengalaman sebelumnya ride melebihi 500km sehari, sekurang-kurangnya 2-3 kali, untuk memastikan ada stamina mencukupi. Pun begitu, buat saya, kadangkala terasa amat letih terutama dengan cuaca yang panas. Di hari terakhir memang terasa keletihan bila bangun pagi, hampir terlewat Subuh (di Thai Subuh habis jam 6 pagi!) mungkin setelah berhari-hari memandu, apalagi hari sebelumnya melepasi lebih 400km dalam bahang cuaca panas yang luarbiasa. Pengajarannya, tahu kemampuan diri, amat penting.
Bagi saya, saya mementingkan prestasi dan stamina. Oleh itu saya pastikan waktu rehat yang cukup dan tidur sekurang-kurangnya 5 jam pada waktu malam, untuk pastikan tak mengantuk semasa ride. Pernah sewaktu kembara ke Nakhon Januari lepas bersama MIB, saya telah meminta ‘excuse’ kepada rakan-rakan lain, untuk tinggal di belakang, semata-mata kerana melihat anak saya yang turut serta, dalam keadaan letih dan mengantuk. Jadi saya lebih rela tertinggal, beri masa beliau masa tidur sebentar, kemudian kami terus ride berdua untuk ‘catch up’ dengan rakan kembara lain.

20170809_063518.jpg
Si isteri pula, kadang mengadu agak letih, walaupun beliau nampak enjoy ride ini, malahan beliau yang lebih teruja sepanjang kembara berlangsung, sentiasa meng update Facebook beliau dan berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Untuk membantunya, saya beri peluang beliau rehat lebih awal, dan kalau ada aktiviti yang ‘optional’ beliau tak join jadi ada masa lebih untuk rehat dan sedia untuk ride seterusnya.
Alhamdulillah buat saya sendiri umumnya stamina baik, tidak mengantuk, dapat maintain ‘alert’ semasa pemanduan. Ada sekali dua ‘skidded’ tapi tidak overshoot semasa koner, ada sekali saja insiden…near miss. Mungkin kerana tergesa-gesa dan over konfiden sedikit. Ketika melalui satu kawasan (dua lorong) menuju ke Khao Sok, kami telah bertembung beberapa tempat yang separuh lorong ditutup kerana pembaikan jalan. Tiba-tiba di tempat kejadian, semua kenderaan mula perlahan, ternampak kesan air di lorong kiri, banjir sedikit. Di depan ada lori tanker memenuhi lorong kiri, jadi laluan tersekat menjadi satu lorong secara mendadak. Semua kenderaan di lorong kiri secara perhalan masuk ke lorong kanan. Saya masih ‘lane splitting’ dan cuba melalui celah-celah antara dua lorong tersebut bila, tiba-tiba sebuah kenderaan pick-up dari kiri menukar laluan secara mendadak, saya menekan brek agak kuat, menyebabkan motor hampir ‘terhimpit’ antara dua kenderaan, alhamdulillah dapat mengawal dengan baik. Rupanya, kenderaan pick-up tersebut memang lalu di lorong kiri kerana ada ruang sebelum ia perlu menukar lorong ke kanan, tetapi tiba-tiba di depannya ada satu halangan (saya tak pasti motor atau kereta) menyebabkan ia terpaksa mengelak. Syukur tiada apa berlaku, pengajarannya, perlu lebih alert dan jangan ‘underestimate’ pemandu Thai ini, secara umumnya mereka lebih ‘hot tempered’ dan kurang mahu mengalah kepada motor.

Rahsia bikers
Mungkin ada yang sentiasa tertanya-tanya, termasuk saya sendiri. Apa lah best nya ride jauh-jauh ni…apa lagi jutawan macam Haji Jabar atau senior eksekutif macam Haji Lokman, Haji Rashid tu dapat dari memerah peluh memacu jentera di tengah panas atau hujan beribu km jaraknya? Ada yang tinggal anak isteri, sanggup ambil cuti dll. Semasa ride ini lah saya dapat menyelami kehidupan bikers kental ini.
Buat diri saya, bila mula menceburkan diri dalam riding ni, tujuan utama untuk berulang pergi kerja atau perjalanan jarak dekat, untuk mengatasi kesesakan lalulintas. Rupanya bila sudah ada bike, sedikit demi sedikit, ‘racun’ dari sahabat-sahabat mula meresap, bermulalah drama meng upgrade bike dari satu jentera ke jentera lain, beli aksesori, gajet dan apa-apa modifikasi…seterusnya langkah semakin panjang, dari ‘tts’ kecil-kecilan, mula ride keluar kawasan, bermalam jarak jauh, keliling semenanjung sampailah merentas sempadan… akhirnya bike ini menjadi sebahagian hidup dan terasa lebih selesa bergerak ke mana sahaja dengan motor. Herannya, ya di situ ada tarikan yang tidak dapat dirasai oleh orang lain.
Saya telah mengambil kesempatan selama 5 hari ini untuk berinteraksi dengan setiap bikers menyelami pengalaman masing-masing. Rata-rata, setiap bikers menyatakan antara sebab utama ride ialah kerana ianya memberikan satu ‘freedom’ kebebasan dari dunia kerja, dari segala macam belenggu hidup yang mengelilingi mereka. Semasa ride, fikiran mesti dikosongkan, tidak boleh fikir benda lain, mesti fokus sepenuhnya pada ride. Memanglah, kalau kau ride dan khayal, tau saja apa akibatnya. Dengan itu riding ini merupakan satu ‘therapy’ atau rawatan jiwa untuk bikers. Sebab itu ujud kata-kata, ‘it is the ride that matter, not the destination!’. Maknanya sejauh mana pun kembara, yang dinikmati ialah ride itu sendiri, destinasi, makanan, resort dsb perkara kedua.

 


Buat saya, memang ada kebenarannya, selepas melalui ‘tipping point’dalam riding, sebab mula-mula ride memang perasaan bercampur baur, ada takut, ada bimbang, ada keraguan macam-macam – lepas satu masa rasa cemas tersebut hilang, diganti dengan ‘adrenaline rush’. Gerakan mental dan hati telah disatukan dengan gerakan jentera lalu menjiwai setiap putaran tayar dan timbullah ‘aura’ merasai ‘in control’ anda menguasai hidup anda dan tiada siapa yang dapat mengawal atau mengganggu anda pada masa tersebut.
Saya suka mengisi masa ride ini dengan aktiviti yang boleh dibuat tanpa memerlukan fokus terlalu tinggi – contohnya berzikir terutamanya mathurat (wirid-wirid yang mathur dari hadis-hadis sahih), dan juga mengulang hafalan ayat-ayat Quran. Kadang-kadang ianya agak sukar, dan saya mesti memastikan tidak hilang fokus, sebab itu aktiviti seperti di atas, kerana dah menjadi sebahagian ‘darah daging’ ia tak akan ‘distract’ perhatian saya dari pemanduan, yang perlukan tumpuan kritikal setiap masa.

Urut, solat dan aktiviti rekreasi

Antara aktiviti yang popular di kalangan bikers ni ialah berurut. Rupanya yang wanita pun berminat juga termasuk pilion kami. Isteri saya dapat khidmat ini semasa bermalam di Cliff and River Jungle Resort – bayarannya pun murah sekitar 500baht untuk hampir sejam, tetapi kena berhati-hati dan minta tukang urut faham, sebab kebanyakan setup urut ni terdedah atau boleh nampak dari luar, jadi untuk wanita kena minta bilik yang tertutup. Buat bikers yang lain, tidak ketinggalan mencari khidmat urut (masat) ini dan selalunya mudah didapati samada berdekatan dengan hotel/resort atau di bandar yang kami singgahi.

Banyak waktu terluang selain ride ini diisi dengan aktiviti seperti boating dan tubing, walaupun, disebabkan hujan pada hari kedua aktiviti tubing tak dapat dibuat. Kumpulan kami juga berura-ura ke Hot Spring, tetapi jalan yang bakal dilalui runtuk akibat hujan. Mulanya Arie mencadangkan bikers Tiger XC boleh meredah lalauan alternatif yang berlumpur, tetapi rancangan itu dibatalkan. Neil, yang menunggang Tiger XC meluncur berseorangan dan bertemu satu ‘viewpoint’ serta air terjun berdekatan yang cantik. Saya teruja dan keesokan paginya, sebelum jam 6.00 pagi kami ride ke tempat tersebut, melalui jalan berliku dan hari yang masih gelap. Memang berbaloi dapat sampai dan menikmati pemandangan matahari terbit serta air terjun berdekatan, walaupun kesuntukkan masa, jika tidak pastinya kami dapat bermandi manda di sini…

 

Sebab ada aktiviti yang ditangguh, petangnya kami berehat di resort (Cliff and River Jungle Resort) sambil memetik rambutan. Kebetulan banyak pohon rambutan sedang masak ranum di sekitar chalet, apa lagi, masing-masing dengan kreativiti sendiri menggalah atau cuba memanjat untuk menikmati rambutan beramai-ramai.

 

Isteri pula suka mangga pulut, dan di Thai kualiti mangga pulut memang sedap, original. Kami dibelanja oleh Haji Rashid semasa berjalan-jalan di Hatyaii, isteri pesan mangga pulut sementara saya durian pulut.

Dengan jadual ride yang kemas, dan tiada satu hari pun yang ditempuh sepanjang masa di jalan, tiada masalah untuk menjaga solat, buat kami musafir, boleh jamak solat jadi selalunya boleh dibuat bila sampai ke destinasi resort. Waktu solat di Thai sejam awal, contohnya Subuh sebelum jam 5 pagi dan syuruk pukul 6.15 pagi. Jadi kebanyakan hari saya memang bersedia awal sebab memang bangun untuk solat dan lepas tu terus bersiap untuk ride, sambil buat perkara rutin seperti tadarus Quran dsb.

Prestasi Triumph Tiger XRX
Saya akan tulis ‘review’ bike ini bila ada kesempatan. Secara singkatnya, setelah memiliki bike ini kira-kira 7 bulan, saya amat berpuas hati, dan kembara kali ini meningkatkan lagi tahap kepuasan serta konfiden pada brand Triumph, terutamanya Triumph Tiger. Pada saya XRX pilihan tepat, walaupun majoriti yang ride jarak jauh lebih suka memilih XC. Kedua-dua XRX dan XCX adalah jenis ‘Adventur Bike’. Beza keduanya secara ringkas, XRX adalah model yang lebih ‘road friendly’, harga lebih murah, suspension tidak boleh diubah dan tayar lebih lebar walaupun kecil sedikit. XC pula lebih sesuai untuk ‘off road’ dan suspension lebih sofistikated, boleh diubah, tayar depan yang lebih besar (spoke) dengan harga berbeza kira-kira RM6,000 dengan XR.
Setelah memandu lebih 15,000km dalam masa 7 bulan, saya dapat merasakan keunikan jentera ini berbanding dengan dua motosikal Triumph yang saya miliki sebelum ini – Street Triple dan Bonneville T214. Sememangnya Tiger lebih sesuai dan praktikal baik sebagai jentera berulang kerja, jarak dekat dan lebih-lebih lagi ride jarak jauh. Dengan posisi pemanduan yang tegak, membolehkan rider bertahan untuk jarak jauh. Tempat duduk yang selesa, ruang membawa barang (luggage) yang mencukupi (satu topbox dan sepasang pannier) dengan enjin 3 silinder yang lancar dan ‘sporty’, kapasiti enjin yang cukup bertenaga (96 bhp) serta torque yang tinggi, semuanya menjadikan jentera ini ideal sebagai teman setia perjalanan jarak jauh.
Dari segi ‘handling’ pemanduan ianya cukup lincah, saya lebih konfiden untuk mencelah di tengah highway. Semasa kembara Khao Sok ini saya dapat merasai lebih dekat lagi kebolehan jentera ini, apa lagi bila dipadankan dengan beberapa lagi jentera Tiger termasuk XC. Seorang pemilik XRX, Melvin, bercerita pada saya, beliau sebelum ini minat ‘sports bike’ tetapi telah berubah dan berjinak-jinak dengan Triumph. Mulanya beliau telah menempah Triumph Tiger XCX, kemudiannay di saat akhir beliau ubah fikiran dan mengambil Tiger XRX. Ada sedikit rasa terkilan beliau kerana XRX tidak mempunyai ‘adjustable suspension’ satu ciri yang beliau suka untuk menjadikan bike lebih sesuai untuk tujuan pengembaraan (adventure) dan melayan koner. Saya kurang faham mulanya, kerana dari pembacaan saya (bike review) ramai pakar menyebut XRX lebih lincah melayan koner dan lebih selesa untuk pemanduan lebuhraya berbanding XCX sementara XCX tak diragui lagi lebih sesuai di jalan yang tidak rata dan off road. Tapi itu mungkin pandangan beliau sendiri. Sampailah beliau telah bertukar pemanduan bike dengan rakan seorang lagi (Din) yang memiliki XCX. Saya pun bertanya apa pandangan beliau selepas pemanduan XCX tersebut, jawabnya ringkas ‘I will keep my bike’ maksud beliau lebih suka pada jentera beliau sendiri, XRX! Tambahan beliau rasa XRX ada kelebihan meluncur ‘acceleration’ berbanding XCX. Apapun, saya rasa kedua-dua bike ini memang tangkas dan sesuai untuk kembara merentas sempadan, dengan setiap satu memiliki kelebihan masing-masing.

Seperti disebut, tiada masalah besar dengan jentera Tiger ini. Apapun, dengan adanya dua orang staf Fastbike yang mahir dan berpengalaman ia satu kelebihan dalam kembara ini. Ada apa masalah atau rungsing pasal bike boleh terus rujuk pada keduanya (Arie & Abby). Kebetulan sebelum mulakan perjalanan side mirror saya longgar, side mirror ini ada fungsi boleh berputar menghala ke dalam, untuk mengecilkan profail bike (bila melalui antara kenderaan semasa traffic jam), tetapi untuk kegunaan mengesan kenderaan belakang, ia perlu berada di kedudukan asal, entah macamana bila memecut laju side mirror sebelah kiri terus berputar ke dalam…masalah kecil saja kan, tapi dah ada pakar terus minta mereka selesaikn, ah mudah untuk orang yang buta pasal motor macam saya ni.

Di hari ke 4 semasa memandu ke arah Tale Noi, tiba-tiba saya perasan ada objek tergantung keluar dari bahagian rantai motor, tetapi motor tetap berjalan biasa. Saya terus mengadukan hal ini pada Arie, beliau kata ianya adalah rubber damper, yang memang mudah terkeluar, tetapi tiada kesan buruk pada rantai atau pemanduan. Bahagian ini masih dalam warranty, beliau cadangkan saya claim warranty bila balik nanti dari Fastbike, untuk sementara beliau pasang klip pada damper tersebut untuk menghalang dari terjatuh terus.

Itu saja masalah celah gigi, orang putih kata, yang lain, seperti saya sebut di atas bike Triumph Tiger ni memang hebat mengaum dan menelan beribu km tanpa ada masalah, tiada masalah, malahan ianya satu kegembiraan buat pemiliknya.

 

 

Rating Kembara Ratpack Khao Sok

Trip/destination *****

Accommodation ****

Food **** (ok, 4.5* lah)

People (Ratpack) *****

Guides (Fastbike, ie Arie/Abby) *****

Bike (Triumph Tiger XRX) *****

Syukur Alhamdulillah kami selamat pulang pada petang Khamis jam 5 petang, basah lencun tapi penuh kenangan manis dan banyak pengalaman sebagai bekalan

Untuk video youtube sila layari link

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s