Kisah kembara 7 beranak mengelilingi Sabah

Pesawat AK5121 mendarat dengan selamat di KLIA 2 bermakna selesailah misi pengembaraan keluarga Road to Heaven mengelilingi Sabah selama 7 hari. Syukur segala yang dirancang oleh keluarga ini berjalan lancar.

Selama tujuh hari mereka telah menempuh lebih 1600km jarak perjalanan, bermula dari Kota Kinabalu melalui bandar/pekan utama di Sabah termasuk Kundasang/Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Keningau. Mereka telah menempah sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Fortuner 2.4L VRZ yang berkapasiti 7 tempat duduk untuk melepasi laluan yang berbagai. Misi utama keluarga RTH ialah mengelilingi seluruh negeri Sabah sambil bercuti dan santai keluarga, di sebalik matlamat ‘bonding’ mengumpulkan seluruh ahli keluarga menjayakan satu program bersama selama seminggu.

Ragu-ragu
Memang dah menjadi cita-cita keluarga ini untuk mengelilingi Sabah. Mengapa Sabah? Mungkin kerana terdapat beberapa tarikan istimewa seperti pantai dan lautan yang cantik, terdapat gunung tertinggi di Malaysia dan ujudnya laluan jalan yang agak baik menghubungkan kesemua bandar-bandar utama negeri ini.
Bermacam perancangan timbul pada asalnya. Kami mengharapkan agar percutian ini dapat juga mengisi misi ‘khidmat masyarakat’ (saringan kesihatan) secara sampingan, dan ada juga niat kalau dapat mendaki gunung Kinabalu yang menjadi idaman ramai orang – namun setelah berlaku beberapa perubahan dalam perancangan, agenda di atas terpaksa diubah. Saya juga berhasrat bertemu sahabat baik (bekas rakan sekelas matriks) saudara Lewis Rodot di Lahad Datu, walaupun komunikasi awal tidak berbalas.
Antara cabaran yang utama ialah tak pasti dengan keselamatan, lebih-lebih lagi isu pencerobohan dan penculikan yang telah mewarnai berita Sabah semenjak 2013 sehingga masakini. Ramai pihak telah dihubungi, rakan-rakan yang menetap atau penduduk Sabah sendiri, dan jawapan yang diterima berbeza-beza. Kami lebih mengutamakan ‘impression’ dan ‘perspektif’ individu dan masyarakat daripada kenyataan rasmi pihak berwajib (walaupun ia tetap penting!), kerana kami berhasrat masuk di tengah masyarakat dan menyelami serba sedikit kehidupan di Sabah.
Disebabkan isu keselamatan ini, rancangan keluarga ini telah menjalani perubahan beberapa kali, antaranya beberapa hotel yang ditempah, berdekatan dengan pantai telah dibatalkan. Setelah mendapat lebih maklumbalas, akhirnya kami memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti atau tinggal berdekatan kawasan perairan. Aktiviti perairan (island hopping) hanya akan dijalankan di Kota Kinabalu, di mana ia dirasakan lebih selamat dan selesa berbanding tempat lain.
Selain isu keselamatan, kami juga kurang maklumat mengenai keadaan laluan di Sabah terutamanya laluan Tawau-Kota Kinabalu – rancangan semenjak awal lagi ialah mengelilingi bandar-bandar Sabah melalui pusingan lawan jam, bermula dengan KK. Setalah membuat kajian ringkas, kami dapat gambaran agak jelas laluan melibatkan bandar-bandar Sandakan, Lahad Datu, Tawau dianggap agak baik walaupun kami dinasihatkan mengelak dari memandu di waktu malam. Sementara laluan Tawau-KK tiada maklumat terperinci dan ini menimbulkan kesangsian hinggalah saat akhir.
Kami anggarkan jarak maksima 300-400km sehari pemanduan, mengambilkira jalan ‘trunk road’ atau jalan dalaman yang tidak sesuai untuk kelajuan tinggi, dan perlu elakkan pemanduan waktu malam. Tambahan pula tiada bandar yang terdapat tempat persinggahan antara Tawau dan Keningau. Di Semporna pula hampir kesemua hotel/tempat menginap berdekatan pantai, dan kami kurang selesa setelah mendapat maklumbalas dari beberapa Sabahan sendiri yang kurang menggalakkan. Akhirnya kami putuskan untuk menempah penginapan 2 malam di Tawau dan berulang ke Semporna pada hari berikutnya.
Di sebalik itu semua, kami masih kurang pasti keadaan laluan Tawau-Keningau, malahan ramai Sabahan yang kami kenali tidak pernah melalui laluan tersebut! Ini agak mencurigakan, namun kami tetapkan hati untuk teruskan niat memandu dari Tawau ke Keningau, panduan dari Google Maps menunjukkan jarak kira-kira 340km dan mengambil masa lebih 5 jam.
Setelah mengkaji dan mendapat berbagai maklumbalas, kami memutuskan untuk bermalam di bandar-bandar berikut menurut turutan hari: KK, Ranau, Sandakan, Tawau (2 malam), Keningau, menjadikan 2 jarak laluan perjalanan yang jauh: Sandakan-Tawau (via Lahad Datu) dan Tawau-Keningau (kedua-duanya melebihi 300km). Untuk setiap jarak perjalanan, kami pastikan ada kemudahan ‘refuel station’ nampaknya Sabah cukup maju dari segi ini, walaupun kualiti jalanraya tidak berapa pasti.

20170706_064619_35469610920_o

Dilema tarikh perjalanan
Memang setiap langkah yang diambil untuk kembara ini penuh cabaran dan dilema. Nak tentukan tarikh perjalanan pun bukan mudah. Anak ketiga yang akan memulakan sesi pengajian pertengahan Julai, anak-anak kecil (2 orang) bersekolah, dan kami berdua yang bekerja (kebetulan awal Julai baharu sahaja lepas bercuti Raya). Saya teringat lagi bagaimana terpaksa menghampakan seorang sahabat karib dan staf yang melangsungkan perkahwinan, dan beberapa jemputan Raya serta lawatan ke projek surau orang asli tidak dapat disertai. Sehari sebelum berlepas saya telah menjalankan prosidur bedah seorang pesakit private, malangnya berlaku komplikasi menyebabkan saya terpaksa pulang lewat sedangkan esoknya kami bertolak awal sekitar 4 pagi. Bukan itu sahaja, beliau perlu penjagaan rapi disebabkan komplikasi ini, dan saya tiada pilihan melainkan meminta rakan sekerja mengambil alih. Isteri juga tak kurang sibuknya, termasuk lawatan kementerian ke lembaga sekolah yang tiba-tiba saja diputuskan berlangsung semasa ketiadaanya menyebabkan beliau risau tak sudah, walaupun timbalannya ada, memanglah takkan sama, apa lagi kerana ianya melibatkan hal-hal kritikal. Begitulah keadaannya dalam keluarga kami memang satu yang agak rumit untuk mendapat luang waktu satu minggu yang sesuai untuk semua!

Kami memang merancang semenjak 6 bulan lagi, tiket kapalterbang AirAsia telah ditempah semenjak 4 bulan sebelum bertolak. Rupanya jangka waktu itu sudah terlalu lewat untuk merancang pendakian gunung Kinabalu, malah ada yang kata perlu menempah tarikh setahun sebelum perjalanan. Maka terpaksa merubah niat tersebut, memang ada hikmahnya sebab kalau termasuk mendaki gunung, jangkamasa seminggu tidak mencukupi untuk kembara mengelilingi Sabah.

Untuk plan perjalanan, saya hanya memilih destinasi dan merancang laluan yang akan ditempuh, aktiviti, tempahan hotel/penginapan serta itineri lain diuruskan oleh isteri. Bagaimanapun pilihan kenderaan, saya agak berhati-hati untuk memastikan kami puas hati dan selesa sepanjang perjalanan nanti.

4 wheel drive atau MPV?
Oleh kerana bilangan perserta yang ramai – 7 orang, kami perlu sebuah kenderaan besar samada MPV (7 seater) atau SUV/4WD yang boleh menampung jumlah yang sama. 4WD mungkin lebih sesuai memandangkan terrain laluan yang berbukit, jalan yang tak rata, mungkin cuaca berubah-ubah dan keperluan ‘off-road’ yang tak dijangka. Akhirnya hanya satu pilihan yang ada iaitu Toyota Fortuner – saya pernah menyewa kenderaan yang sama beberapa tahun lepas, di Sabah, untuk jangkamasa 3 hari. Kebetulan Toyota baru mengeluarkan versi Fortuner baru, yang telah dinaiktaraf dari segi rekabentuk dan kejuruteraan. Oleh itu saya meminta sang isteri menempah Fortuner terbitan tahun 2017, kosnya memang lebih tinggi, kira-kira RM100 lebih sehari berbanding dengan kenderaan sama versi tahun 2015. Tak mengapa, kata saya, kalau elok kereta ni, boleh jadi sebagai ‘test drive’ selama seminggu, mungkin membantu impian masa depan nak memiliki 4WD semula!
Antara rungutan saya di masa lampau ialah kualiti ‘handling’ Fortuner ini yang kurang memuaskan, almaklum ia adalah ‘hybrid’ antara Hilux dan Innova – jadi bila memandu tak sama kepuasan dengan kereta, terasa rentak ‘agricultural’nya. Enjin pun kurang bertenaga terutamanya bila mendaki (dulu saya test versi petrol 2.7L), penggunaan bahanapi pun tak memuaskan sangat, boleh dikatakan kenderaan Fortuner ni kuat ‘minum’ petrol. Biarpun begitu, untuk kegunaan singkat mungkin ia tetap pilihan yang munasabah, kalau nak cari Prado atau Landcruiser memang tak mampu (susah nak cari pun), dan 4WD lain yang ada kapasiti 7 seat tak banyak kalau ada samada mahal atau kualiti lebih kurang juga (satu pilihan osem ialah Hyundai Santa Fe – tapi saya tak berniat dah nak memiliki Hyundai lagi, apalagi organisasi BDS pun dah kempen boikot produk Hyundai sejak tahun lepas).
Sewaktu membuat tempahan saya tidak sempat bertanya samada Fortuner 2017 tersebut versi petrol atau diesel, pada hemat saya mana-mana pun ok saja. Menurut ulasan dari pakar kereta Paul Tan, versi Fortuner baru ini telah dirombak membuatkan ianya lebih ‘stylish’ serta berkualiti, dari segi handling dan ekonomi. Saya rasa agak teruja juga sebab tu walaupun harga agak mahal saya terima.
Isu praktikal dari segi kapasiti kenderaan, selain penumpang ialah ruang untuk menyimpan barang. Saya cuba menelek dari ulasan pakar mengenai kenderaan ini dan dapat sedikit idea berapa luas ruang ‘storage’nya, memang agak terhad. Jadi kami cuba mengurangkan jumlah bagasi dan barangan hanya secukupnya.

Rancang keperluan
Kami memang pernah satu keluarga bercuti, malah untuk jangkamasa yang lebih lama, tetapi bezanya kali ini pengembaraan yang melibatkan destinasi yang tidak dikenali atau kurang maklumat, malahan terdapat concern tentang keselamatan dan laluan yang mungkin kurang elok. Seperti biasa, kami sediakan diri dan anak-anak untuk menempuh aktiviti bermain air dan ‘outdoor’ pakaian pun disesuaikan untuk tujuan ini. Keperluan peribadi (toiletries/contact lense) dan ubat-ubatan, buku-buku (anak-anak yang bersekolah), gajet elektronik dan yang penting pengecas untuk setiap gajet mesti ada – termasuk ‘fitness watches’. Kalau dulu saya mengarahkan setiap anak-anak bersedia untuk memberi penyampaian ‘tazkirah’ seorang setiap hari. Kali ini, saya merasa cukup dengan meminta setiap mereka membaca dari hadis 40 diikuti dengan ulasan ringkas, memfokus pada aspek-aspek iman dan akhlak. Saya juga cuba meng upload dalam pendrive, bahan-bahan seperti video islamic dan ceramah serta nasyid untuk hiburan sepanjang perjalanan. Eh, rupanya dah ketinggalan zaman, anak-anak lebih tinggi standardnya, dan banyak nasyid yang saya gemari dah ‘outdated’ jadi kena update sedikit supaya anak-anak tak jemu. Untuk Quran, zaman sekarang semua orang guna Quran digital saja termasuk saya sendiri, ini lebih mudah dan simpel.
Untuk bekalan makanan, kami cuma bawa dua paket besar maggi. Ini terpulang ikut jangkaan masing-masing. Selain itu kopi, teh dan susu pekat untuk bekalan emergency, setengah tempat memang susah nak dapat, dan mudah untuk cari atau masak air panas.
Untuk keselesaan kembara ini perlukan sebuah kamera, zaman sekarang dah jadi kebiasaan semuanya dilonggokkan atas smartphone, termasuk kamera yang canggih. Walau bagaimanapun kami bawa juga kamera Sony (mini SLR, compact) dan GoPro (untuk rakaman pemanduan, snorkeling etc – kalis air). Selfie stick pun berguna juga. Tak perlu mengusung kamera SLR yang berat tu walaupun ianya amat baik kalau ada untuk zoom jelas, sebab kamera compact walau boleh zoom lebih tetapi kualiti tetap berbeza. Masalahnya berat dan tak sesuai untuk kegunaan lasak.
Tidak lupa dokumen! Kami bawa juga passport untuk semua orang, kalau-kalau diperlukan atas apa-apa keadaan atau terpaksa merentas Brunei, mana tau. IC memadai untuk dewasa, kanak-kanak MyKid atau Surat Beranak, atau passport. Tiket – kami dah ‘check in’ online dan cetak boarding pass beserta luggage tag (kena tempah luggage masa menempah tiket untuk AirAsia, jangan terlupa, kalau tidak kena bayar berkali ganda di airport!)

Diari perjalanan
Hari pertama – penerbangan dan sampai di KK
Bermula jam 4 pagi kami bertolak ke KLIA 2. Bawa Starex, selesa untuk sekeluarga dengan barang yang sarat, parkir di KLIA 2). Bayar parking RM46 sehari (3 hari pertama) dan RM20 (setiap hari lepas tu), jadi untuk parking seminggu, buat sekeluarga masih tetap jimat berbanding ambil Uber dan naik Alza (tak cukup ruang, sempit dan tak murah pun untuk pergi balik…). Jangan lupa ambil gambar kereta (maksudnya gambar tiang parking tu biar senang ingat masa balik). Solat jemaah di surau berdekatan gate berlepas Air Asia ke KKIA (KK International Airport). Beli makanan ringan dan berlepas jam 7.50am. Sampai di KKIA – lalu imigrasi – guna IC (untuk dewasa) jangan lupa ambil resit entry (diperlukan untuk balik, jangan buang…). Ambil luggage dan terus keluar, wakil agen dah sedia menunggu dengan Toyota Fortuner baru warna hitam gelap.
Kami terus ke homestay di Taman Luyang (berdekatan hospital Queen E). Cantik dan kemas homestay ini, ada antique value lagi. Selepas solat Zuhur/Asar jamak (Zuhur di Sabah dalam 1220) bertolak ke bandaraya, apa lagi ke Filipino market, jamu mata dan shopping sedikit ikut selera. Memang pelbagai barangan dan cenderahati boleh dibeli, harga boleh tahan. Ada pula gerai buah-buahan walaupun harganya mengejutkan, contoh manggis sekilo berharga RM25! Setelah menelek-nelek akhirnya kami pilih buah kuini, berharga RM10 untuk 6 biji, nasib baik tinggal di homestay, tiadalah larangan bawa masuk buah yang berbau kuat macam kuini.
Kami pusing-pusing di kawasan pantai, berjalan kaki, pemandangan agak cantik. Tambahan pula di waktu matahari nak terbenam. Sebagai musafir ada kemudahan jamak solat, jadi kami pilih untuk terus ke Clam Station’s 3 berdekatan Filipino Market, untuk makan malam seafood. Di sini boleh pilih ketam, lobster, udang harimau, ikan dan sotong ikut selera hati. Cuma tiada paku pakis pulak, jadi kami pesan kangkung ikan masin seperti biasa. Alhamdulillah masakan sedap (paduan resepi lokal). Malamnya berehat di homestay.
Malamnya saya sambut tetamu, sahabat karib MyIkram Bikers – Rosli. Kami berbual-bual sehingga hampir tengah malam. Dari Rosli saya dapat beberapa panduan perjalanan dan tips berguna. Rosli mengingatkan lagi supaya kami elak memandu waktu malam, walaupun beliau sendiri mengalami pemanduan malam beberapa kali, agak mencemaskan juga.
Perjalanan (drive) 3* – tak jauh pun….tak dapat merasai prestasi Fortuner sepenuhnya
Penginapan 4* amat memuaskan – kualiti, persekitaran
Makanan 4.5* (Clam Station’s 3 seafood)

Aktiviti perairan dan bermalam di kaki gunung Kinabalu – Hari kedua
Kami bertolak awal pagi (jam 7am) untuk bersarapan di Sutera Bayu, boleh tahan menunya walaupun saya cuma pesan telur setengah masak dan roti bakar…anak-anak seronok sebab ada menu Western dan agak berbagai. Seterusnya ke Jesselton Jetty untuk menaiki bot peribadi ke pulau Sapi dan pulau Mamutik – aktiviti island hopping dan snorkeling sambil bermandi manda. Sempat juga melalui Water Village untuk melihat kehidupan penduduk yang membina rumah di pesisiran pantai. Kelihatan unik dan bermacam perkara menusuk benak bila melihat rumah kediaman terapung ini. Selesai aktiviti perairan kami dah kelaparan, tapi cuma beli makanan segera seperti pastri dan lain-lain di jeti, tukar baju yang basah dan terus bertolak menuju Kundasang Cattle Farm. Di sini bawa anak-anak kenal lembu baka New Zealand ni, ada aktiviti memberi makan dan minum anak lembu dan kambing, dan boleh juga membeli susu, gelato dan yoghut untuk bawa pulang, serta lain-lain souvenir, walaupun sebahagian kedai pengunjung ditutup…
Selesai, hujan lebat turun mencurah, saya terpaksa meredah hujan untuk ambil Fortuner dan pandu berhampiran pintu masuk untuk ambil ahli keluarga yang lain. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan yang berbukit dan berliku ke Kundasang, hujan lebat dan jalan yang basah. Oleh itu saya pandu cermat, guna 4WD mode sesekali dan ini membantu. Sewaktu turun bukit kadangkala tukar manual gear untuk lebih kawalan. Rupanya ada beberapa kereta biasa, yang nampak dipandu dengan bersahaja, lebih laju dari kami! Mungkin orang tempatan yang dah biasa, jadi saya ambil masa sendiri dan pastikan kawalan kenderaan yang baik. Kami sampai di tempat penginapan Hounan Ridge Farmstay, Bundu Tuhan, Ranau. Ia lebih macam rumah, tapi pemandangan cantik dan suasana amat selesa dan mengujakan. Walaupun masih hujan renyai-renyai anak-anak riang dengan suasana dan pemandangan banjaran Kinabalu betul-betul di depan mata. Ada beberapa ekor anjing mulanya kami ingat anjing liar sebab tak bertali, rupanya mereka memang dilepas oleh tuannya. Anak-anak mula bermain dengan anjing, mereka memang dah terbiasa masa hidup di Eropah dulu anjing sebagai haiwan peliharaan (pet), walaupun kami tak pernah lah membela anjing, jangan salah faham ye.
Pemandangan lebih cantik ialah semasa matahari terbit, dapat dirakam dari sebelah hujung banjaran tersebut. Cuaca agak sejuk di waktu malam dan pagi, pendek kata sepanjang masa, aircon pun tak perlu. Walaupun makanan di homestay ini biasa sahaja, tetapi semua ahli kembara merasa amat ceria dengan suasana di tepi gunung. Kami sempat berjalan singkat di sebelah petangnya turun naik jalan berbukit di sekitar Farmstay tersebut.
Keesokan paginya, lepas solat Subuh (Subuh di sini bermula jam 4.40 pagi, sejam awal dari Semenanjung), kami bertolak terus menuju destinasi seterusnya, berhenti di Mount Kinabalu National Park (ada warong berhadapan) untuk sarapan. Cashier seorang China, jadi kami tanya dulu halal ke? Beliau jawab ya, dan memang ada beberapa pengunjung Melayu/Muslim. Menu boleh tahan, anak-anak kalau ada sosej & telur sudah ok, pendekata stail English breakfast pilihan utama.
Perjalanan (drive) 4* – dapat merasa guna 4WD, laluan bukit/selekoh dilalui dengan baik oleh Fortuner
Penginapan 4* memuaskan – kualiti, persekitaran
Makanan 2.5* tiada pilihan, hanya cafe yang kecil di homestay, tiada restoran berdekatan. Sarapan 3.5*

Menyelami kehidupan di Water Village & kota Sandakan – Hari ke 3
Perjalanan menggunakan kenderaan 4WD Fortuner dari Ranau/Kundasang ke Sandakan mengambil masa kira-kira empat setengah jam, walaupun jarak yang dilalui hanya sekitar 300km. Ini kerana pemanduan melalui laluan berbukit, setengahnya curam, dan banyak selekoh tajam, di tambah dengan kesesakan kenderaan berat. Bagaimanapun perjalanan ini terasa selesa apalagi prestasi Fortuner yang lebih memberangsangkan bila menjelajah laluan seperti ini.
Saya sebagai pemandu solo di hampir keseluruhan perjalanan dalam kembara ini dan memang saya berpuas hati dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi peluang merasai keampuhan jentera Toyota ini. Kalau di jalanraya besar atau highway kadangkala terasa ‘beralun’ disebabkan pusat graviti yang tinggi serta tayar yang besar (kurang enak dibanding memenadu kereta) tetapi di jalan yang beralun dan kurang rata, lebih terasa kekuatan jentera ini. Bila turun hujan dan jalan kurang rata saya guna 4WD mode. Untuk memotong, gear otomatik ini kadangkala terasa kurang bertenaga sedikit, lalu berpindah ke gear manual yang memberikan lebih ‘push’.
Kami menuju ke homestay di Sepilok (Sepilok Jungel Resort) dan berdekatan tempat ini ada sebuah sanctuary untuk orang utan dan beruang (sun bear). Tempat ini agak lengang dan lebih ramai pengunjung luar berkulit putih yang datang. Oleh kerana pusat jagaan orang utan hanya dibuka sewaktu mereka makan, kami beredar ke tempat sun bear. Di tengah rimbunan pokok yang lebat ini dapat dilihat beruang madu ini seekor demi seekor, ada yang bergantung di pokok, ada yang bergerak di tanah di celah-celah ranting dan dedaun. Sedang kami sibuk mendengar penerangan dari seorang staf, terdengar suara kecoh pengunjung lain. Rupanya ada dua ekor orang utan yang terlepas dan sedang bergerak di atas pelantar laluan pengunjung! Ada yang merasa gerun tetapi penjaga hanya menyuruh mereka bertenang dan tunggu sampai orang utan ini beredar sendiri. Jangan cuba provoke…ye sebab kita tak tau orang utan ni boleh jadi liar atau ganas, jadi lebih elok biarkan mereka lalu secara senyap. Bertuah lah kami, walaupun tak dapat melihat orang utan di kandang diberi makan, dapat pula bertembung secara kebetulan.
Selesai nature park, kami bergerak ke resort yang tidak jauh. Berehat sebentar dan solat, terus siapkan diri untuk ke pantai Sandakan untuk ziarah Yanti, staf unik Kardiologi UKM.
Mulanya saya pun tak pasti di mana, hanya setelah sampai baru kami faham, beruntung rasa dapat menyelami kehidupan penduduk Water Village ini! Kami berjalan di atas jambatan dan sesekali mengelak bertembung motosikal atau pejalan kaki lain, sebelum sampai ke rumah ayah Yanti. Kami disambut dengan penuh meriah, maklumlah ayah beliau pun ada mendapat rawatan dari saya. Kami telah dijamu dengan hidangan burasak, sup daging dan perut, sambal cendawan dan nasi himpit serta kuah kacang. Semasa berbual-bual, dapatlah kami pelajari serba sedikit kehidupan penduduk di sini yang cukup unik. Bahagian pesisiran ini asalnya adalah tumbuhan pokok bakau, sebab itu tanahnya berair atau berlumpur. Jadi walaupun bahagian rumah yang kami lawati ini tidak berair, tanahnya lembut berlumpur, dan jadi hal biasa untuk anak-anak kecil ini terjatuh ke lumpur, di sini mereka belajar ‘survival skill’ barangkali. Pada waktu air pasang penuh tiang-tiang rumah ini akan dikelilingi air laut.
Dalam perjalanan pulang kami singgah di bandar Sandakan yang sederhana besar. Di sini ada Harbour Mall untuk shopping barangan departmental atau gajet macam shopping mall biasa lah. Ada parkir berhubung dengan hotel Four Points by Sheraton di mana kami naik guna lif hotel tersebut. Sebenarnya tujuan utama singgah di bandar Sandakan untuk dobi pakaian yang dah dipakai, dengan ini kami tak perlu bawa pakaian terlalu banyak.
Penangan makan di rumah Yanti tadi masing-masing dah cukup kenyang, jadi malamnya selepas solat maghrib/isya berjamaah kami ke Banana Cafe di resort untuk supper. Banana Cafe ini terletak agak jauh sedikit dari bilik tetapi ada jalan yang menghubungkan melalui pelantar/jambatan kayu, yang diterangi lampu-lampu agak malap. Pada waktu paginya baru dapat melihat pemandangan sekitar yang agak unik, ada tasik, pohon dan bunga yang rendang, boleh lihat sendiri gambarnya cantik juga. Malah cafe ini bersebelahan betul-betul dengan kolam yang dipenuhi ikan ‘piranha’ dan pengunjung boleh mencampakkan roti yang disediakan untuk memberi makan ikan tersebut. Di sebelah jambatan berdekatan, spesis ikan yang lebih besar tak pasti apa jenisnya.
Ramai pengunjung cafe ini terdiri dari pelawat berkulit putih, dan di waktu malam mereka memenuhi hampir seluruh cafe nasib baik ada lagi tempat untuk kami duduk. Makanannya sederhana walaupun harga memang tahap 5 bintang. Untuk sarapan memang termasuk harga penginapan, walaupun juadah yang agak terhad dan lebih ‘Western’ dengan sosej, baked beans, telur rebus, agak basic saja. Ada menu lain seperti mee goreng dan donut manis yang sejenak jadi kegemaran saya dan anak-anak.
Perjalanan (drive) 4.5* – dapat merasa guna 4WD, laluan bukit/selekoh dilalui dengan baik oleh Fortuner, merasai kehebatan Fortuner, stabil dan mantap di sebalik permukaan jalan yang kadangkala berbonjol.
Penginapan 4* memuaskan – kualiti, persekitaran
Makanan 4.5* – di rumah Yanti, makanan memang menyelerakan, anak-anak pun suka dan teruja. Banana Cafe, not bad

Bertamu ke Lahad Datu dan Tawau – Hari ke 4
Selepas bersarapan di Banana Cafe kami mulakan perjalanan ke Tawau. Jarak yang menjangkau lebih 300km dan jalan yang agak baik keseluruhannya, walaupun sempit sedikit, kecuali selepas Kunak ada dua lane di sini satu-satunya kesempatan ‘speed test’ Fortuner sampai 160km/j, tak boleh lebih, sebab ‘highway’ ni berliku dan panjangnya kira-kira 20km lebih, banyak juga kenderaan di beberapa bahagian. Selain dari ‘highway’ ini secara umum anda kena berhati-hati di sepanjang jalan, sebab ada sahaja bahagian jalan yang tak rata, kadangkala bahagian tengah jalan yang rosak dan permukaannya berbonggol, mudah menjadi punca nahas kalau tidak alert. Ada hujan lebat semasa berhenti minum di Lahad Datu, walaupun keadaan jalan baik, sesekali saya guna 4WD mode bila hujan terlalu lebat, ada ketika hampir tak nampak jalan.
Singgah di Lahad Datu – bandar yang dikenali dengan sejarah pencerobohan Sulu di tahun 2013. Di sini kami berhenti sebentar, ambil gambar berdepan jeti. Tidak lama dan sebagai sebuah pekan sederhana tidak ada yang mengujakan. Tiada pantai yang boleh untuk bersantai pun. Tetapi kerana sejarah tersebut, saya sengaja berhenti walaupun tidak dapat bertemu dengan sahabat Lewis (ai, Lewis, lepas saya meninggalkan Lahad Datu baru beliau balas mesej dan kata nak jumpa…nampaknya lain kalilah Lewis). Saya bercerita sejarah tersebut pada anak-anak secara ringkas, ikut perspektif sendiri lah. Waktu melewati jam 11am, kami masuk ke sebuah warung berdekatan untuk minum, dan makan ringan – ada goreng pisang 5 seringgit, saya beli rupanya anak-anak suka pula. Oleh kerana menu makan tengahari tak siap lagi, kami tangguhkan niat untuk makan kemudiannya. Sejurus sebelum bergerak, hujan turun lebat menyebabkan kami terperangkap, saya berlari diikuti keluarga, dan masing-masing merasa curahan air dari hujan yang lebat tu.
Hari ini Jumaat, sebagai musafir kami ada kelonggaran untuk tidak bersolat Jumaat, pada saya ikut pada kesesuaian jadual perjalanan.
Hari ini spesial sebab anak sulung kami, Widad menyambut hari lahir ke 22. Ada dua berita lain – pada hari yang sama keputusan peperiksaan semestar ke 2 anak ketiga, Harith telah diumumkan, alhamdulillah beliau dapat skor ‘Dean’s list’. Hari yang sama juga keputusan semestar 2 Widad yang men

untut di Wales, UK telah dikeluarkan online, beliau mendapat First Class untuk keempat-empat subjek. Bersyukur kami dan tahniah kepada anak-anak yang menunjukkan prestasi terbaik.
Dari Lahad Datu kami singgah di Kunak, sebuah masjid bersaiz sederhana. Solat Jumaaat baru selesai, kami terlewat, tak mengapa sebagai musafir kami bersolat jamak, cuma terkilan tak dapat bersama penduduk tempatan dalam upacara solat Jumaat tu. Rupanya ada rezeki bertemu dengan Imam masjid, Haji Mydin, beliau dari keturunan Indonesia yang dibesarkan di Australia, di bawa oleh British sebelum Merdeka untuk menjadi pengurus ladang Sime Darby, sekarang sudah lama bersara semenjak 70an dan bertugas sebagai Imam di masjid ini. Ramai juga dari bangsa yang bukan Melayu seperti Kadazan memeluk Islam, menurut beliau.
Lepas solat kami teruskan perjalanan dan singgah di sebuah gerai durian, apa lagi, bersantai makan durian anak beranak kecuali Harith (beliau tak makan buah-buahan). Durian Sabah ni boleh tahan rasanya, harga RM15 sekilo, ok lah untuk menjamah rasa. Disebabkan rasa yang sedap kami datang semula ke gerai ini esoknya!
Tak lama melepasi Kunak kami dihidangkan dengan laluan yang lebih selesa, dua lorong, inilah yang dikatakan sebagai ‘highway’ oleh Pak Imam tadi. Di sini dapatlah saya memecut sedikit. Dari Pak Imam beliau juga menyebut anak beliau biasa merentas KK ke Kunak melalui laluan Keningau, menurut beliau laluannya agak baik dan lebih cepat berbanding jika melalui Sandakan (beza 2 jam).
Tawau adalah bandar yang sederhana terletak berdekatan pantai. Kami memilih tinggal di sebuah hotel 3* sahaja selama 2 malam, agak selesa walaupun ia kelihatan berusia. Parkir pun tidak ada, kadangkala terpaksa tinggal kunci di reception untuk pengawal keselamatan uruskan parkir bila ada ruang. Walaupun begitu kedudukannya agak strategik di kelilingi oleh banyak warung/restoran dan kemudahan lain seperti tempat membeli belah. Di waktu malam boleh bersantai di warung/cafe berdekatan di sinilah saya temui sebuah motosikal Triumph Scrambler, melalui Fastbike saya dapat mengenali pemiliknya Puan Malinda, Sabahan, dan beliau telah memberikan beberapa maklumat yang membantu perjalanan kami seterusnya.
Keesokannya berulang alik ke Semporna. Sebenarnya tarikan utama Semporna ialah pulau-pulau yang cantik, tapi oleh kerana isu keselamatan kami terpaksa batalkan niat untuk island-hopping, sebaliknya setakat berehat di sekitar pantai (tiada kawasan pantai yang sesuai) walaupun begitu kami memandu ke pesisiran pantai dan dapat menikmati pemandangan serta kehidupan penduduk tempatan beserta pemandangan rumah-rumah mereka yang kelihatan agak unik.

Kejutan sepanjang perjalanan Tawau-Keningau
Inilah laluan yang saya paling risau, kerana tiada maklumat lengkap diperolehi. Mujur dari Pn Linda beliau telah berpesan agar berhati-hati, kerana sepanjang perjalanan banyak bahagian jalan yang ‘putus’ dan hanya lapisan kerikil sahaja, dan ada juga tanah mendap atau runtuh menyebabkan gangguan permukaan jalan yang teruk. Hanya setelah kami melalui laluan tersebut dapat melihat dengan mata sendiri kejutan tersebut. Bukan itu sahaja, di beberapa bahagian jalan ke Sapulut dan selepasnya, hanya sebelah jalan sahaja yang boleh dilalui, jadi kalau bertembung kenderaan dari laluan bertentangan terpaksa bergerak perlahan atau berhenti. Kebetulan tidak banyak kenderaan lalu, dan sepanjang jalan sebenarnya agak sunyi. Dengan 4WD seperti Fortuner, alhamdulillah kami tiada masalah melalui laluan ini, dan kerapkali saya menukar mode 4 high, untuk membantu pemanduan.
Di sebalik semua ini, sekurang-kurangnya kami dah bersedia secara mental, jadi tiada yang merungut, malah kami sentiasa berhati-hati sepanjang perjalanan. Saya sengaja tidak memberikan peluang kepada isteri atau anak memandu, memandangkan keadaan jalan yang tidak dijangka ini. Cuma pemerhatian saya, di sebalik laluan yang agak sunyi dan bahagian jalan yang rosak di atas, keseluruhan perjalanan agak selesa, biarpun memakan masa yang agak lama (lebih 6 jam untuk 400km, ditambah waktu berhenti sarapan). Tiada masalah dengan stesen minyak, di setiap pekan kecil tetap ada, walaupun kami tidak tertekan dengan keperluan mengisi diesel, Fortuner ini memang amat mampu melalui lebih dari 400km dengan satu tangki penuh.
Kami sampai di Keningau sekitar jam 2petang, berhenti makan di Pizza Hut (masih mood menyambut harijadi Widad lagi), sebelum bertolak ke Crocker Range Park untuk bermalam di sini. Pemanduan dari Keningau ke Crocker tidaklah jauh, sekitar 15km sahaja tetapi berliku dan mendaki. Di sini ada ‘nature park’ di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan bermacam tumbuhan seperti paku pakis gergasi, dan Raflesia yang unik. Sunyi sahaja tempat ini, sejenak baru kami perasan kamilah satu-satunya keluarga yang menginap di sini! Terfikir juga, sebuah nature park yang menarik ini begitu gersang dengan pengunjung, mungkin kebetulan atau mungkin juga taman ini menunggu masa ditutup (amat malang kalau benar). Tetapi satu faktor, mungkin taman seperti ini, yang agak terasing jauh, dan terletak di sebuah pekan agak kecil seperti Keningau, memang tak punya ‘niche’ yang baik. Nak harap pengunjung lokal memang mustahil, buat orang Sabah setakat nak cari Raflesia baiklah menuju ke Air Panas Kundasang di situ berderet bunga Raflesia (ini menurut penjaga taman Crocker sendiri!) sedangkan di taman Crocker ini ada sekuntum sahaja bunga Raflesia. Nak berharap pengunjung asing, mungkin lokasinya kurang tarikan dan keadaan kediaman yang kurang menyerlah.
Di waktu malam, kami 4 beranak sahaja duduk di restoran menunggu hidangan yang tak kunjung tiba…anak-anak semuanya keletihan ada yang tertidur. Pada jam 8 malam pintu masuk ke taman ditutup, jadi kami ‘terperangkap’ di sini hingga keesokannya. Jangan salah faham, pada saya pengalaman di taman ini cukup unik dan menyentuh hati, buat kami memang banyak yang dapat dinikmati dari segi pemandangan, sekitaran yang begitu aman dan segar, bilik chalet biarpun berusia agak kemas dan selesa.
Sayonara Sabah
Keesokannya kami bersantai sarapan di restoran sunyi tersebut, sebelum bersiap untuk keluar. Oleh kerana hari terakhir dan KK pun tidak terlalu jauh kami punya cukup masa (kebetulan penerbangan balik pada jam 8.50 malam). Kami bergerak ke pantai Karambunai, kononnya di sini ada entertainment park dan pantai cantik, rupanya kami tersalah info, pantai ini memang hak mutlak resort dan khas untuk penghuninya. Jadi kami setakat berulang alik menikmati pemandangan di pesisiran pantai KK sepanjang perjalanan. Tengaharinya kami singgah di Filipino market untuk membeli barangan termasuk barangan basah (frozen food), harganya tidaklah murah, tapi dah ketagih makan lobster jadi kami belilah juga untuk dibawa pulang.

Seminggu bersama Fortuner 4WD
Verdict 4*
Cemerlang: Body shape, fuel saving (very economical), 4WD yang cekap
Contra: Tidak ‘car-like’ masih mirip Hilux, kurang selesa di kelajuan rendah (beralun sedikit), agak sempit terutama third row. Infotainment system – video tak boleh ditonton semasa kenderaan bergerak (oops, infotainment system ni memang dicipta untuk kenderaan bergerakkah?)

20170704_114859_35712970295_o
Setelah memandu kereta ini lebih 1600km terasa ia dah menjadi teman setia sepanjang perjalanan. Kereta ini memang ‘tough’ cukup gagah dan mampu merentasi apa sahaja bentuk jalan tanpa sebarang kerumitan. Di jalan yang basah/banjir, jalan berliku, jalan berbatu kerikil dilalui tiada kerenah. Versi diesel yang kami pandu cukup ‘oomph’ dan mampu mendaki dengan bertenaga di sebalik kapasiti penunggang yang penuh. Dengan gearbox automatic ia cukup bertenaga, jika perlu lebih kuasa boleh gunakan ‘sport’ mode atau tukar kepada manual gearbox (semi-automatic) dan saya dapati mode ini amat sesuai bila terpaksa memotong di jalan yang berliku atau dalam keadaan tergesa-gesa, dalam hal ini Fortuner tetap bersedia memenuhi keperluan anda.
Walau bagaimanapun saya agak terkilan bila menurun bukit, terasa gegaran dari tayar bahagian depan (menurun dengan agak curam), biarpun begitu tidak terasa hilang ‘traction’ dan aksi membrek dan memecut tidak ada yang cacat. Gegaran ini mungkin disebabkan gandar terpaksa menyokong tayar yang besar dengan pemanduan 2WD, pada hemat saya yang dhaif dengan mekanik jentera ini.
Untuk pemanduan jauh, tidak terasa sebarang tekanan, mungkin kusyen duduk yang agak selesa dan kedudukan pemanduan cukup baik. Penumpang keseluruhannya berpuas hati biarpun bahagian paling belakang memang sempit dan lebih sesuai untuk anak-anak kecil.
Apa yang paling menyerlah ialah penjimatan bahanapi (fuel), satu tangki penuh mampu menjangkau lebih dari 600km (anggaran saya 700-800km pemanduan yang sederhana laju), dan ini pastinya lebih baik dari Starex kami (satu tangki penuh menjangkau kira-kira 600km atau kuran) – kedua-duanya diesel. Pada hemat saya ini amat baik sekali, saya pernah memandu versi petrol (2700cc) memang tidak ekonomikal langsung dan jarak dijangkau dengan sepenuh tangki mungkin sekadar 400km, pada masa tersebut (versi Fortuner petrol 2.7kcc 5 tahun lepas).
Adakah saya teruja memilikinya – masih tak pasti, biarpun ianya kemungkinan yang terbuka. Faktor negatif – harga yang tinggi (>RM180,000 untuk versi diesel dan >RM190,000 versi petrol), dengan harga ini hampir dapat memiliki sebuah Hilux ditambah dengan sebuah Innova hanya topup RM10-20k…mungkin satu éxaggeration’ biarpun begitu saya mengharapkan kenderaan 4WD yang lebih mirip kereta atau MPV, dan ruang penumpang yang agak sempit juga kurang menggalakkan.
Tetapi jika anda memang mencari sebuah 4WD yang berfungsi juga sebagai MPV untuk sekeluarga, maka Fortuner tetap menjadi salah satu pilihan wajar, apa lagi dengan sejarah yang cukup lama dan menjadi petanda ianya brand yang ‘reliable.

Kembara Sabah sekilas pandang
Alhamdulillah kami mencapai objektif mengelilingi Sabah dalam masa seminggu. Dari ketidakpastian ia berakhir dengan satu kembara yang

menjadi kenangan manis. Lautan di harungi, bukit dan gunung di daki (memandu), lopak dan tanah runtuh direntasi, laluan yang tak dikenali diharung dengan tenang, pulau, pantai, perkampungan air, jambatan ditempuh dan ianya satu pencapaian dengan sendiri.

Dapat mengumpulkan seluruh ahli keluarga untuk melakukan aktiviti bersama selama seminggu, makan minum, tidur, bermain, mandi-manda, bershopping dan island hopping semuanya dilakukan sebagai satu keluarga, bukan sesuatu yang mudah di zaman ini, syukur kami dapat menjayakan program keluarga ini. Pastinya anak-anak merasa gembira dan mereka dapat menjalin semula ikatan bersama setelah terpisah untuk seketika masing-masing bertaburan di bumi mengejar cita-cita. Bukan pertemuan kosong, kami isi dengan solat jamaah bersama, berkongsi tazkirah, tadabbur dan berbincang berbagai isu sebagai satu keluarga mudah-mudahan iltizam sebagai keluarga Muslim ini berkekalan. Secara fizikalnya kami mencapai matlamat mengelilingi negeri Sabah dengan selamat, di samping dapat mengenali bumi Sabah dengan lebih dekat, bersosial dengan penduduk tempatan serta menikmati keindahan pemandangan dan langit yang cerah di mana kami pergi, laut yang cantik dan tenang. Terasa begitu singkat pula masa seminggu ini, tidak terasa kepenatan turun naik bukit, memandu setiap hari atau melaksanakan berbagai aktiviti, disebabkan oleh berkat dari masa yang kami lalui bersama sebagai sebuah keluarga bahagia.

Untuk video Kembara Sabah RTH sila layari youtube

Video album Kembara Sabah RTH

Snapshot perjalanan Sapulut Keningau

Crocker Hill Descent Fortuner test

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s