Solat Zuhur terakhir untukmu….

Jom Prof, dia orang dah naik tu…ujar salah seorang doktor di klinik. Aku bergegas, meninggalkan kerja2 menulis di fail pesakit.

Sampai di pintu surau, rupanya beliau sedang menuju masuk. Tetapi beliau tidak masuk ke surau bersendirian, malah dibantu oleh beberapa orang. Dalam keadaan terbaring & tidak mampu lagi berkata-kata, beliau diusung ke barisan paling hadapan, di depan Imam.
Aah, jam 2 petang, aku memang belum solat Zuhur lagi. Eloklah masuk surau, walaupun jemaah Zuhur dah selesai. Kebetulan yang tinggal tak ramai, cukup untuk membuat tiga saf.

Solat Zuhur kali ini ringkas pula. Hanya empat takbir. Tiada ruku’ dan sujud, hanya kurang lebih 3 minit selesai. Semua hadirin berwajah suram, tapi cukup gagah & bersungguh-sungguh mengaminkan doa Imam. Aah, inilah solat beliau yang terakhir, sebelum diberi penghormatan menuju ke rumah penginapan baru.

Sahabat kami, yang bersama satu pasukan kerja, dan satu masa dalam satu kelab superbike, menunggang bersama2, kini telah tiada. Aku masih terbayang dengan detik mencemaskan pagi tadi. Sampai di te mpat parking motor di bawah, aku belek handphone dan terdapat satu ‘missed call’ dari Datuk Sri. Hai apahal Datuk Sri telefon awal pagi pulak ni, lalu terus ku dail nombor beliau, tapi tidak berjawab. Selang beberapa minit beliau menalipon, memberitahu, sahabat kami sedang nazak dan pasukan penyelamat perubatan sedang bertungkus lumus cuba menyelamatkan nyawa beliau.

Lalu aku bergegas ke ICU, di sinilah sahabat kami terlantar semenjak sepuluh hari lalu, selepas berlaku insiden ngeri di Bukit Tinggi. Satu kemalangan maut membabitkan jentera beliau Kawasaki Z800 bertembung dengan sebuah KTM Duke 200. Beliau cedera parah melibatkan pelbagai organ termasuk otak, jantung, paru-paru & pelvic. Kekadang seolah ada harapan sedikit, dan setiap hari kami mengunjungi beliau, mengucapkan kata2 semangat, walaupun beliau hanya tidur nyenyak di bawah kawalan ubat. Rakan-rakan, & saudara menaruh harapan, malah ada yang mereka ayat, hah nanti dah sihat, mesti tak nak ride motor dah…Tapi takdir Ilahi mengatasi segalanya. sejak 3 hari lepas, selepas disahkan mendapat ‘sepsis’ iaitu jangkitan kuman dalam darah, keadaan semakin meruncing. Pagi ini, beliau diserang ‘cardiac arrest’.

Aku meluru ke katil & menekan dada beliau ‘CPR’ berkali-kali. Ubat2an tak saling putus dicucuk ke dalam darah. Silih berganti kami melakukan CPR. Tidak nampak respon yang baik. Mataku bergerak pantas meninjau sesiapa yang ada di sisi beliau. Z ada di situ, wajahnya pucat lesi, Y juga di situ, berwajah serius, beliau dengan tangan gagahnya turut serta memberikan CPR. Tiba2 telefon ku berdering: di hujung sana suara esakan tangisan. “Are you with him?” Aku menjawab tenang. “Ok, I am coming…don’t forget…teach him syahadah…” “oh, ok, drive carefully”….seperti anak kecil menurut suruhan ibunya, aku bergerak ke kepala katil, menukar strategi. Orang lain silih berganti melakukan CPR, aku tak putus-putus mengucapkan kalimah ‘Lailaha Illallah, Muhammadurrasulullah,” pada telinga sahabatku. Adakah dia mendengarnya…di kemelut ini. Aah, teruskan sahaja, inilah kalimah akhir yang dia mau bawa mengadap Tuhan…bisik hatiku.

Detik-detik terakhir beliau (anak panah)....semasa ride tahun baru. Ceria bersama rakan. Sukses dalam business dan gelaran hepat tp beliau tetap bersahaja & simple bersama rakan2
Detik-detik terakhir beliau (anak panah)….semasa ride tahun baru.
Ceria bersama rakan. Sukses dalam business dan gelaran hepat tp beliau tetap bersahaja & simple bersama rakan2

Dah lebih setengah jam ni…desak seorang Pakar. Aku cuma mengisyaratkan untuk terus mencuba. Ada kisah memang CPR yang berlanjutan sampai sejam dapat memulihkan seorang mangsa ‘cardiac arrest’ berusia muda. Tapi itu dalam keadaan lain, tak silap, mangsa lemas. Namun apapun, aku cuba ‘membeli masa’ sedikit…untuk apa, tak pasti. Tak dapat menerima hakikat lagi? Agaknya itu yang bermain dibenakku, di hati Z, di kepala Y, bahawa akan berlaku satu ‘karamah’ atau mukjizat di mana sahabat karib kami akan bangun juga…tapi nampaknya itu hanya mimpi.

Memang barangkali para ‘bikers’ yang berhati kering ni, tak takut mati, dan cukup optimis. Ya, kuat tawakkal lah kut…kekadang macam ‘over confident’ pula…

OK, everyone, we stop here. Arahku. Wajah2 yang murung memandang kosong. 3 orang pelawat melangkah masuk, airmata berderai. Aku bersalaman dengan yang lelaki, abang kepada sahabat kami.

Aku hampiri Z & memeluknya…tiada kata2…hanya doa untuk sahabat kami. Yang lebih, bahasa dunia saja…hanya hati yang hidup dapat merasai…mungkin lebihkurang begini, ayuh bro…kita sambung hidup ini jangan patah semangat…doa untuk sahabat, kita kuatkan hati…life goes on.

Kini, berakhir drama sepuluh hari itu, sahabat kami, rakan ‘rider’ telah meninggalkan kami bertemu Penciptanya. Semoga beliau diampuni Allah & ditempatkanNya bersama orang-orang beriman & para Solihin.

Leave a comment