Dalam Umrah Ada Bekalan…Ya Allah terimalah kunjungan kami ke Rumah SuciMu
Ada waktu dalam hidup ini kita memerlukan suntikan nafas, untuk meneruskan hidup, menjana tenaga baru, mendapat inspirasi baru, menghidupkan semula semangat yang pudar, dan apa lagi, memperbaharui iman yang telah melalui pelbagai onak duri.
Aksi dunia yang kadangkala terasa zalim dan tidak adil; kecewa dan lemah semangat hasil dari persekitaran yang mencengkam. Tekanan dan bebanan di tempat kerja, keluarga dan lainnya, tugas yang pastinya kian meningkat dan melebihi luang masa, ditambah kerenah orang di persekitaran. Juga hubungan keluarga yang kerap melalui cabaran serta asam garam kehidupan, anak-anak yang semakin dewasa dan sukar difahami. Kekusutan dunia yang disulami oleh hiburan dan lagha dari media arus massa yang melesukan jiwa. Kesemua ini telah memudarkan semangat malahan iman seorang insan.
Lalu ada peluang untuk mengubati hati dan minda ini. Di tiap hari, kita ada wudu dan solat yang membasuh suci semua kotoran dunia tadi. Ada tadabbur al Quran, tahajjud, zikir dan mathurat sebagai penghubung pada Ilahi, dan penglipur yang sejati. Setiap kebajikan baik secara individu maupun jama’i yang dihulur jadi sumber kekuatan. Bulan Ramadan yang berkunjung setahun sekali pula menawarkan proses rehabilitasi serta peluang menebus segala kekurangan tadi. Lalu ada kelibat cahaya harapan untuk hati ini terus hidup.
Namun kadangkala rutin harian, bulanan, tahunan ini masih tidak mencukupi. Minda kekadang masih kusut dan hati dilambung ombak. Perlukan satu ‘impetus’ untuk merubah segalanya. Lupakan segala kekusutan buat sementara, perbaharui diri dan kembali dengan semangat baru.

Lalu ada peluang terbaik, iaitu umrah. Ziarah rumah Allah, kunjungi bumi anbiya’, gelanggang bermulanya seruan Islam yang telah membawa tamadun baru dunia. Di sana ada Kaabah, memandangnya sahaja sudah jadi penawar jiwa, setiap pusingan mengelilinginya menghapus segala dosa, setiap doa yang diungkap dengan tulus pastinya makbul. Zamzam yang jadi pengubat duka dan dosa, yang penuh berkat dan tidak pernah kontang itulah mukjizat. Jejaki sejarah bapa anbiya’ Ibrahim, dan isterinya Siti Hajar yang berulang alik antara Safa dan Marwa, penuh bermakna sekali, langsung menyorot kisah pengorbanan paling unggul. Apalagi, di Masjidil Haram Makkah di mana setiap solat digandakan pahlanya seratus ribu kali, tiada tempat di dunia yang ada peluang sama. Bukan itu saja, suasana hening dan kudus di al-Haram pastinya amat berbeza dari yang lain, manusia dari seluruh pelusuk dunia berkunjung dengan menggadaikan wang dan masa, hanya untuk satu tujuan, melawat Rumah Allah. Di sinilah terapi jiwa yang paling berkesan. Malahan di al-Haram ini setiap kebajikan memang digandakan seratus ribu, tanah yang terlalu mulia dan barakah.
Lalu ada peluang menziarahi penghulu anbiya’ dan pemimpin tertinggi kita Rasulullah s.a.w, di Masjid Nabawi Madinah. Di situ bersemadi jasadnya serta para sahabat. Langsung menyorot diri yang kerdil dan dhaif pada peribadi-peribadi yang ulung dan gagah, Rasulullah dan para sahabat, yang telah mengabdikan seluruh kehidupan untuk adDeen ini. Kunjungi juga Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Arafah, Jabal Uhud dan sekian banyak ikon sejarah Islam. Memang pastinya amat mengesani jiwa ini, hanya jiwa yang telah mati saja tidak dapat dirawati.
Lalu, sediakan minda dan hati untuk ‘holiday’ yang paling bermakna ini. Jangan sekali terfikir akan kesusahan dan sengsara perjalanan, tidak sekali harus mematah semangat. Perjalanan yang jauh, urusan yang rumit, kerenah birokrasi manusia, dan ketidak selesaan semasa di sana, usah jadi penghalang, untuk meraih manfaat dan ganjaran umrah ini. Usah sekali keluh kesah dengan sebarang kesulitan, usah bimbangi dengan kegawatan dan kekurangan wang, semuanya jadi enteng dengan niat yang suci, serta merasa reda pada Ilahi. Segalanya pasti akan jadi mudah jika jiwa ini benar-benar bersedia, bukankah Haji dan Umrah itu merupakan satu jihad. Telusurilah perjalanan ini dengan tenang dan berani, sucikan niat, kuatkan tekad, pastinya rahmat Ilahi bersamamu di sepanjang jalan.
Explore posts in the same categories: Uncategorized